Rabu, 15 Oktober 2008

Meneroka cakerawala pemikiran klasik.......

Sultan : Siapakah gerangan tuan hamba?
Bayan :Ampun tuanku,beribu-ribu ampun,sembah patik harap diampun.Patik, hamba fakir yang hina dina,pacal yang tak guna,membawa sembah ke bawah Duli cerpu Baginda,menjunjung titah di atas kepala jemala batu patik....ialah seorang fakir gelandangan(tak tentu hala tujuannya/musafir)...anak dagang yang mahu mencari secangkir rezeki di negeri Tuanku negeri Antah Berantah ini. Adapun nama patik fakir Bayan Budiman...Patik dahulunya bertuankan seorang saudagar dari Kota Baghdad Saudagar Khoja Maimun namanya. Oleh sebab jasa baik patik,menasihati isterinya Bibi Zainab sepeninggalan Khoja Maimun berdagang, agar si isteri itu terselamat daripada bencana...maka patik dimerdeheka oleh tuan patik.Ampun Tuanku.
Sultan : Begitu? Tapi mengapa tuan hamba datang menghadap beta?
Bayan : Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun...setelah patik dimerdeheka (dibebaskan ) oleh Saudagar Khoja Maimun,patik terbang sehingga ke negeri Antah Berantah ini. Sewaktu patik bertenggek di dahan pokok Bo ( Pokok Gautama Buddha mendapat pencernaan tentang Kebenaran Agung ) patik telah terdengar bicara rakyat jelata negeri ini tentang kehebatan dan kemuliaan Tuanku Sang Sapurba Taramberi Teri Buana memerintah kerajaannya dengan penuh keadilan. Maka patik pun terfikir untuk menghambakan diri patik kepada Duli Tuanku...agar sisa-sisa hidup patik ini patik korbankan untuk berbakti kepada seorang Raja yang adil seperti Tuanku.Ampun Tuanku.
Sultan : Baiklah fakir Bayan Budiman. Beta benarkan fakir Bayan Budiman,menjadi Tukang Cerita istana beta dan beta titahkan fakir untuk memberi nasihat dan pemikiran yang berharga tentang segala adat dan peraturan negeri.Fakir bolehlah hidup membuat sarang di dahan Jati di taman larangan di belakang istana.
Bayan : Ampun tuanku,beribu-ribu ampun.Sembah patik harap diampun. Patih menjunjung titah Tuanku di atas kepala jemala batu patik.Ampun Tuanku....Jika Tuanku ada kesempatan izinkan hamba untuk membicarakan tentang suatu kehebatan orang-orang zaman silam. Ampun Tuanku...
Sultan : Silakan wahai fakir Bayan Budiman....
Bayan : Ampun tuanku beribu-ribu ampun,sembah patik harap diampun....Hamba tertarik dengan karya klasik dan pemikiran masyarakat silam!. Karya-karya mereka yang "tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas".Hebat. Pagi tadi hamba terbaca Hikayat Awang Sulung Merah Muda..Nah...! hamba paparkan beberapa rangkap yang disulami dengan bahasa puitis yang mampu menggugah minda dan fikiran orang-orang seni. .....

Maka diperbuatkan oleh orang besar empat;telah sudah,lalulah dipersembahkannya kepada Tuanku Si Helang Laut dan Tuan Puteri Si Helang Bakau sebuah kota:

Kota besar sembilan ruang,
Sepuluh dengan rembat guntung,
Sebelas dengan pancung serong,
Dua belas dengan anjung tinggi,
Tiang sudut menteri delapan,
Tiang panjang maharajalela,
Tiang tengah syukur menanti,
Galang-galang ular berang,
Kasau kecil puteri menyembah,
Kasau lentik helang berbega,
Berbunga sawa mengelempai,
Bertakuk bersedelinggam,
Berjenang berbatu kawi,
Berselimpat ukir jawa,
Lilit-melilit akar Cina,
Garam sebuku sisa juragan
Kenanga dimakan ulat,
Layang-layang pintu raja.

(Pawang Ana,Raja Haji Yahya.Hikayat Awang Sulung Merah Muda.Fajar Bakti,Shah Alam.1998.m.s.2)

.............Begitulah kehebatan kota binaan masyarakat silam.Untuk pengetahuan segala juak-juak,hulubalang,rakyat jelata yang besar,tua,muda,lelaki dan perempuan...hamba nak khabarkan bahawasenya kecantikan dan kesempurnaan sesebuah kota adalah sentuhan dan hasil buah fikiran dan buah tangan semua yang bergelar manusia tanpa mengira adat,budaya,agama,kaum,dan idelogi siasah......Malah dalam kepelbagaian itulah adanya keunikan dan kecantikan serta kesuburan serta kehebatan Maha pencipta dalam melangsungkan kehidupan makhlukNya di buana ini.Lihatlah bagaimana budaya Melayu,Jawa,Cina dan Hindu telah menghiasi kecantikan,kehebatan,serta keutuhan kota tersebut..Jelasnya kepelbagaian itu satu kekuatan dan bukannya kelemahan.Maka marilah kita berganding bahu menjadi rakyat Malaysia yang berjuang untuk merealisasikan masyarakat Malaysia yang bertunjangkan 'BANGSA MALAYSIA' kerana hamba tidak sanggup lagi melihat anak cucu hamba raghib (asyik) bertelagah dan bermusuh-musuhan sesama insan dan "berlumba-lumba untuk menunjukkan kebiadaban masing-masing' semata -mata untuk mempertahankan perkara-perkara yang remeh-temeh seperti 'aku berbudaya' dan 'kau tak terdaya'.....Lupakah kita manusia dilahirkan bersuku-suku dan berkaum-kaum untuk kita mengenali sesama lain dan bukan untuk bermusuh-musuhan....Ibarat kata orang-orang yang pernah menjadi tua...Bulat air kerana pembentung,Bulat manusia sama-sama beruntung!... Kita sepatutnya mengambil ikhtibar daripada pantun orang- orang yang pernah menjadi tua...seperti

' Kalau roboh kota Melaka
Papan di Jawa kami dirikan
Kalau sungguh bagai dikata
Jiwa dan raga kami turutkan

Begitulah apa yang hamba fikirkan dalam kepala jemala batu hamba...moga-moga dapat kita sama-sama renunginya......Hamba minta diri dulu.....Ampun Tuanku....

5 ulasan:

HAJI JUMIRAN berkata...

Cikgu Nada,
Tahniah kerana menjadi ahli BLOGGER SMKTPG. Cikgu telah memilih sesuatu berkaitan dengan Kesusasteraan. Teruskan kerana ini menjadikan ciri istemewa CAREKAWALA FIKRAH

Awaludin Ahmad berkata...

Tahniah dan syabas, teruskan perjuangan di alam siber...welcome to the club.

Naim Nair berkata...

Great Job Brother
I like this style better. Lots of originality and it is really you. Keep up the good work. Some of us think but are unable to express. Thinkers like you portray the thoughts and feelings of a many silent other thinkers. But the saddest part of all is many do not think and worst still more now do not even bother to feel.

KHAIRUDIN B. ABDUL RAHMAN berkata...

Sybas Syabas Beti....

shelazul berkata...

Saya akan jadi Peminat Blog ini..saya suka kepada karya-karya sastera yg puitis dan unik..