Jumaat, 24 Oktober 2008

...di celah-celah falsafah Kontrak Sosial

Sultan: Bagaimana dengan keadaan negeri beta,wahai fakir Bayan Budiman?
Bayan: Ampun Tuanku,beribu-ribu ampun. Haraplah patik diampun ke bawah duli yang maha mulia.Sesungguhnya patik pacal yang hina ini amat kagum akan kekuasaan Tuanku Sang Sapurba Taramberi Teri Buana ...memiliki kerajaan yang terbentang luas ..dari Masyrik ( Timur ) ke Maghrib ( Barat ) dan dari Daksina (Selatan ) ke Paksina ( utara )....Maka patik pun mengambil kesempatan untuk hanyut di segenap pelosok negeri Antah Berantah ini...terbang melintasi belantara batu di celah-celah bangunan tinggi yang tumbuh berceracak ibarat 'cendawan tumbuh selepas hujan'...setelah patik capik ( penat ) maka patik pun beristirahat di dahan pohon nyiur gading di hujung dusun...di sanalah patik mendengar khabar berita tentang masalah rakyat jelata di negeri ini..Betapakah hal Tuanku...kesusahanlah hati patik mendengarkan khabar rakyat sekalian di dalam negeri ini?
Sultan: Masalah rakyat jelata? Wahai Fakir Bayan Budiman....

Di mana musuh akan datang?
Mana tebing akan runtuh?
Atau kubu akan dijuang?
Atau ubat akan dijemur?
Mana senapang akan diampai?
Mana jamban dikincah dagang?
Atau parit sudah ditimbus?
Atau aur kurang bela?
Angkatan mana akan tiba?
( Pawang Ana dan Raja Haji Yahya. Hikayat Awang Sulung Merah Muda.Shah Alam:Fajar Bakti,1998, m.s.23).

Bayan: Ampun Tuanku ...bukannya negeri akan gaduh...Sesungguhnya musuh bukan dari luar...kini musuh dalam selimut, musuh yang kita tidak sedar....
Sultan: Maksud Bayan.....?
Bayan: Ampun Tuanku...maksud hamba" Kontrak Sosial" yang menjadi buah mulut rakyat jelata negeri ini,.........rakyat bertelagah sesama sendiri
Sultan: Ya..memang peraturan dan adat segala raja-raja dan pemerintahan negeri itu beta rangkumkan dalam Perlembagaan.... dalam nama "Kontrak Sosial"---( kompromi politik yang dicapai oleh pemimpin-pemimpin kaum di Malaysia ketika negara mencapai kemerdekaan). Apa masalahnya..Mengapa rakyat bertelagah sesama sendiri.....biar fakir Bayan khabarkan...
Bayan: Daulat Tuanku Syah Alam, Sang Sapurba Taramberi Teri Buana...Patik hamba yang hina mohonkan ampun dan kurnia beribu-ribu ampun,takut patik pacal yang hina berdatang sembah...takut patik digelar derhaka....Jika diampun Duli Yang Maha Mulia, maka beranilah patik berdatang sembah....akan bicara yang terlintas di kepala jemala batu patik...ampun Tuanku!
Sultan: Wahai Fakir Bayan Budiman..Beta mahu mendengar bicara Fakir...silakan.
Bayan: Ampun Tuanku...Pada firasat patik..jika kita menyingkap Sejarah Negara Antah Berantah ini memang ada pakatan dan persetujuan untuk membentuk Negara yang Merdeka dengan Penggubalan Perlembagaan yang memberikan hak kepada semua rakyat termasuk Hak Istimewa Orang-Orang Pribumi. Persoalannya, mengapakah isu ini menjadi punca perbalahan?. Pada firasat patik... Hal ini kerana istilah Kontrak Sosial itu sendiri disalahertikan oleh rakyat jelata kerana ada juga konotasi "Kontrak" sebagai "mendapat hak dengan berdasarkan perjanjian untuk mengurus (menjual dll)"--[ Kamus Dewan,edisi ketiga,m.s.704) . Konotasi ini- yang pada fikiran patik mungkin membawa percanggahan dalam kalangan rakyat jelata sehingga rakyat berasa tidak puas hati-mengganggap satu-satu golongan telah mendapat hak yang lebih daripada yang lain- sehingga mereka mengkritik kewujudan Kontrak Sosial ini sebagai hambatan dan kekangan dalam melahirkan bangsa yang bersatu padu dan dalam proses pembentukan negara demokrasi tulen yang masih berkiblatkan sistem Raja Berperlembagaan.Menurut akal patik yang pacal ini, berpendapat perkara ini harus ditelusuri oleh sekalian Orang-Orang Kaya dan menteri-menteri negeri Tuanku agar isu ini tidak berlarutan dan terus meluaskan jurang perpaduan kaum. Kewujudan dan kemaslahatan Kontrak Sosial ini memang tidak dinafikan.Namun, Patik berpendapat, para bangsawan dan menteri-menteri kerajaan perlu ' lembut gigi dari lidah' dan ibarat 'menarik rambut dari tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak' dalam membicarakan isu ini agar mana-mana pihak tidak 'terasa' dan 'tersinggung'.....kerana semua rakyat jelata negeri ini mempunyai obligasi untuk 'memakmurkan alam-- tanah tumpah darah ini'...ibarat kata orang-orang yang pernah menjadi tua.....

Orang mahu, seribu daya; orang tak mahu,seribu dalih.
Jerat serupa dengan jerami.
Bahasa menunjukkan bangsa.
Menchabik mudah,menjahit susah.
Malu berkayuh,perahu hanyut.
Bulat air oleh pembuluh,bulat kata oleh muafakat.
Jong pecah yu kenyang.
Ke mana kelok lilin,ke sana kelok loyang.
Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

( Perintis Sastera, m.s. 59 )

Patik juga gusar jika istilah Kontrak Sosial ini tidak dijelaskan dengan terang dan telus kepada rakyat jelata, masalah dan jurang perbezaan pendapat ini terus menebal dan berlarutan sehingga ke hujung dunia....kerana ada juga fakir mendengar pantun dari salah seorang rakyat jelata yang tinggal di hujung Kampung berpantun sedemikan rupa untuk menyatakan rasa hatinya sebagai manusia yang kononnya teraniaya walaupun sudah lama bernaung di bawah panji-panji Duli Tuanku....pantunnya sedemikian rupa...

Ayam hutan terbang ke rimba
Hendak Hinggap ke atas kepaya
Emaknya Sultan,Ayahnya Raja
Janganlah hina tegah dek saya..

( Perintis Sastera, m.s. 60 )

Sultan: Beta faham..Tapi bagaimana beta boleh menangani masalah rakyat jelata yang tidak puas hati ini? Beta tidak mahu dianggap raja yang tidak adil oleh anak cucu beta kelak....
Bayan: Ampun Tuanku..pada fikiran patik...kita harus mengambil ikhtibar daripada peristiwa dalam karya Sejarah Melayu yang mana berlaku Waadat ( Kontrak Sosial ) antara golongan Pemerintah ( Sang Sapurba yang mewakili golongan Raja) dengan Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat yang diperintah. Waadat ini menjadi dasar yang dipersetujui oleh Pemerintah dan Yang diperintah untuk melangsungkan satu pemerintahan yang adil ibarat "Kuat akar kerana tunjang,kuat tunjang kerana akar" agar kemakmuran dan kejayaan negara sama-sama dikecapi. Diakhir perjanjian ini dinyatakan ...
Maka sembah Demang Lebar Daun,
" Adapun tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah duli yang dipertuan;hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli tuanku.Dan jika ia berdosa,sebesar-besar dosanya pun,janganlah ia difadhilatkan,dinista dengan kata-kata yang jahat;jikalau besar dosanya dibunuh,itu pun jikalau berlaku pada hukum syarak"...
" Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita,jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun." Baiklah, Tuanku. Tetapi jika anak buah tuanku dahulu mengubahkan dia,maka anak cucu patikpun mengubahkanlah."
( Sejarah Melayu.W.G.Shallabear.Petaling Jaya:Fajar Bakti.m.s.6 )
dan kita telahpun melihat bagaimana Kerajaan Melayu Melaka telah jatuh ke tangan Feringghi ( Portugis) akibat raja dan rakyat telah melanggari waadat ini. Perlanggaran waadat ini dimulakan oleh Golongan Raja dengan melakukan penindasan dan penganiayaan kepada rakyat jelata [ peristiwa pembunuhan Tun Jana Khatib,pembunuhan budak pintar yang menyelamatkan Singapura daripada serangan ikan todak,pembunuhan bendahara dll] telah membawa penderhakaan rakyat yang dimulakan oleh Megat Sri Rama dalam peristiwa Marhum Mangkat Dijulang. Peristiwa ini telah mengajar kita tentang bahaya perlanggaran waadat atau dalam konteks negeri Antah Berantah ialah 'Kontrak Sosial'- iaitu kehancuran sesebuah negara dan kerugian yang ditanggung bersama.
Sultan: Benar juga bicara fakir Bayan....Bagaimana beta menangani persoalan ini?
Bayan:Ampun Tuanku...Maka patik berpendapat pihak Tuanku perlu lebih prihatin dan berhati-hati dalam menjaga kebajikan semua rakyat berlandaskan ' Kontrak Sosial' agar tidak ada golongan rakyat jelata yang tidak mendapat hak untuk hidup sebagai anak watan negeri ini lantas bangun memberontak,menderhaka dan melanggari Kontrak Sosial ini....Kontrak Sosial di negara ini perlu menjamin Keadilan Sosial untuk semua...dan pada masa yang sama hak pribumi juga tidak patut dipinggirkan seperti yang termaktub dalam Kontrak Sosial ini.. Adalah lebih molek kita pinggirkan seketika pertelagahan untuk menegakkan pertuanan masing-masing demi kesejahteraan Umat Manusia....kerana bumi dan langit adalah milik-Nya... dan kita sebagai makhluk ciptaan-Nya tidak lebih menjadi hamba yang ditugaskan untuk menjaga dan memelihara kemakmuran ini. Langit dan bumi bukannya milik mutlak kita...sebagai hamba yang daif,Patik rasa jika kabajikan semua dijaga melalui 'Kontrak Sosial' ini, maka tidak ada masalah....kerana dalam sistem pemerintahan beraja yang pernah diwujudkan oleh nenek moyang kita jelas semua rakyat tanpa mengira adat,keturunan,agama,rupa fizikal dan warna kulit diberi hak untuk hidup sebagai anak watan tanpa perasaan hasad-dengki dan prasangka....Kebijaksaan Tuanku mengenali kekuatan setiap kaum dan golongan untuk diserapkan dalam sistem pentadbiran dan perdagangan demi kemajuan ekonomi,keutuhan sosial,dan kemantapan politik memang dituntut kerana masing-masing rakyat ada gunanya..... kerana setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini ( tanpa mengira kaum,adat,budaya ,agama) lahir dengan kelebihan masing-masing, lahir dengan struktur DNA yang sama sebagai makhluk Tuhan..."Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia...kerana kita semua dicipta oleh Maha Berkuasa Sarwajagat Yang Esa.Setiap manusia dilahirkan sama di sisi-Nya....." Kami tidak membeza-bezakan antara seseorangpun (dengan yang lain)...Setiap insan yang dilahirkan adalah anugerah-Nya... Jadi... maka jadilah dia untuk menjadi penghuni bumi....kerana Tuhan telah merestui kewujudan manusia dengan akal dan fikrah....dan masing-masing rakyat ada gunanya....

Yang pekak pembakar meriam,
Yang buta penghembus lesung,
Yang lumpuh penghalau ayam,
Yang pekung penjemuran,
Yang kurap pemikul buluh.
( Pawang Ana,Raja Haji Yahya. Hikayat Awang Sulung Merah Muda.Shah Alam: Fajar Bakti,1998.m.s.3).

Maka,Kontarak sosial yang dipersetujui bersama perlu dilaksanakan atas dasar "Negara kita Hak Kita' dan Kontrak Sosial perlu menjadi pelampung untuk menyelamatkan Bahtera Malaya 1957 yang kian karam akibat ribut dan badai yang diwujudkan oleh kita sendiri akibat kecuaian,kejahilan dan kealpaan kita sendiri dalam mentafsir,melaksana dan mempraktikkan Kontrak Sosial........Jika Keadilan dalam Kontrak Sosial dapat dipraktikkan seperti yang ada, maka soal sesuatu golongan merampas hak golongan lain tidak akan wujud....
Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun.Mohon patik mengundur diri...

Rabu, 15 Oktober 2008

Meneroka cakerawala pemikiran klasik.......

Sultan : Siapakah gerangan tuan hamba?
Bayan :Ampun tuanku,beribu-ribu ampun,sembah patik harap diampun.Patik, hamba fakir yang hina dina,pacal yang tak guna,membawa sembah ke bawah Duli cerpu Baginda,menjunjung titah di atas kepala jemala batu patik....ialah seorang fakir gelandangan(tak tentu hala tujuannya/musafir)...anak dagang yang mahu mencari secangkir rezeki di negeri Tuanku negeri Antah Berantah ini. Adapun nama patik fakir Bayan Budiman...Patik dahulunya bertuankan seorang saudagar dari Kota Baghdad Saudagar Khoja Maimun namanya. Oleh sebab jasa baik patik,menasihati isterinya Bibi Zainab sepeninggalan Khoja Maimun berdagang, agar si isteri itu terselamat daripada bencana...maka patik dimerdeheka oleh tuan patik.Ampun Tuanku.
Sultan : Begitu? Tapi mengapa tuan hamba datang menghadap beta?
Bayan : Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun...setelah patik dimerdeheka (dibebaskan ) oleh Saudagar Khoja Maimun,patik terbang sehingga ke negeri Antah Berantah ini. Sewaktu patik bertenggek di dahan pokok Bo ( Pokok Gautama Buddha mendapat pencernaan tentang Kebenaran Agung ) patik telah terdengar bicara rakyat jelata negeri ini tentang kehebatan dan kemuliaan Tuanku Sang Sapurba Taramberi Teri Buana memerintah kerajaannya dengan penuh keadilan. Maka patik pun terfikir untuk menghambakan diri patik kepada Duli Tuanku...agar sisa-sisa hidup patik ini patik korbankan untuk berbakti kepada seorang Raja yang adil seperti Tuanku.Ampun Tuanku.
Sultan : Baiklah fakir Bayan Budiman. Beta benarkan fakir Bayan Budiman,menjadi Tukang Cerita istana beta dan beta titahkan fakir untuk memberi nasihat dan pemikiran yang berharga tentang segala adat dan peraturan negeri.Fakir bolehlah hidup membuat sarang di dahan Jati di taman larangan di belakang istana.
Bayan : Ampun tuanku,beribu-ribu ampun.Sembah patik harap diampun. Patih menjunjung titah Tuanku di atas kepala jemala batu patik.Ampun Tuanku....Jika Tuanku ada kesempatan izinkan hamba untuk membicarakan tentang suatu kehebatan orang-orang zaman silam. Ampun Tuanku...
Sultan : Silakan wahai fakir Bayan Budiman....
Bayan : Ampun tuanku beribu-ribu ampun,sembah patik harap diampun....Hamba tertarik dengan karya klasik dan pemikiran masyarakat silam!. Karya-karya mereka yang "tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas".Hebat. Pagi tadi hamba terbaca Hikayat Awang Sulung Merah Muda..Nah...! hamba paparkan beberapa rangkap yang disulami dengan bahasa puitis yang mampu menggugah minda dan fikiran orang-orang seni. .....

Maka diperbuatkan oleh orang besar empat;telah sudah,lalulah dipersembahkannya kepada Tuanku Si Helang Laut dan Tuan Puteri Si Helang Bakau sebuah kota:

Kota besar sembilan ruang,
Sepuluh dengan rembat guntung,
Sebelas dengan pancung serong,
Dua belas dengan anjung tinggi,
Tiang sudut menteri delapan,
Tiang panjang maharajalela,
Tiang tengah syukur menanti,
Galang-galang ular berang,
Kasau kecil puteri menyembah,
Kasau lentik helang berbega,
Berbunga sawa mengelempai,
Bertakuk bersedelinggam,
Berjenang berbatu kawi,
Berselimpat ukir jawa,
Lilit-melilit akar Cina,
Garam sebuku sisa juragan
Kenanga dimakan ulat,
Layang-layang pintu raja.

(Pawang Ana,Raja Haji Yahya.Hikayat Awang Sulung Merah Muda.Fajar Bakti,Shah Alam.1998.m.s.2)

.............Begitulah kehebatan kota binaan masyarakat silam.Untuk pengetahuan segala juak-juak,hulubalang,rakyat jelata yang besar,tua,muda,lelaki dan perempuan...hamba nak khabarkan bahawasenya kecantikan dan kesempurnaan sesebuah kota adalah sentuhan dan hasil buah fikiran dan buah tangan semua yang bergelar manusia tanpa mengira adat,budaya,agama,kaum,dan idelogi siasah......Malah dalam kepelbagaian itulah adanya keunikan dan kecantikan serta kesuburan serta kehebatan Maha pencipta dalam melangsungkan kehidupan makhlukNya di buana ini.Lihatlah bagaimana budaya Melayu,Jawa,Cina dan Hindu telah menghiasi kecantikan,kehebatan,serta keutuhan kota tersebut..Jelasnya kepelbagaian itu satu kekuatan dan bukannya kelemahan.Maka marilah kita berganding bahu menjadi rakyat Malaysia yang berjuang untuk merealisasikan masyarakat Malaysia yang bertunjangkan 'BANGSA MALAYSIA' kerana hamba tidak sanggup lagi melihat anak cucu hamba raghib (asyik) bertelagah dan bermusuh-musuhan sesama insan dan "berlumba-lumba untuk menunjukkan kebiadaban masing-masing' semata -mata untuk mempertahankan perkara-perkara yang remeh-temeh seperti 'aku berbudaya' dan 'kau tak terdaya'.....Lupakah kita manusia dilahirkan bersuku-suku dan berkaum-kaum untuk kita mengenali sesama lain dan bukan untuk bermusuh-musuhan....Ibarat kata orang-orang yang pernah menjadi tua...Bulat air kerana pembentung,Bulat manusia sama-sama beruntung!... Kita sepatutnya mengambil ikhtibar daripada pantun orang- orang yang pernah menjadi tua...seperti

' Kalau roboh kota Melaka
Papan di Jawa kami dirikan
Kalau sungguh bagai dikata
Jiwa dan raga kami turutkan

Begitulah apa yang hamba fikirkan dalam kepala jemala batu hamba...moga-moga dapat kita sama-sama renunginya......Hamba minta diri dulu.....Ampun Tuanku....

Ahad, 12 Oktober 2008

Hari Bersejarah... Blog terbina akhirnya!!!!

Syahadan,.... sekonyong-konyong pada purnama ini.......... blog telah terbina kerana ihsan, paksaan, dorongan, kritikan,sindiran, dan motivasi rakan-rakan. Kini hamba,Fakir Bayan Budiman pun bolehleh mendabik dada jadi rakan blog... Hamba mengambil kesempatan ini merakamkankan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan terutama cikgu Khairuddin yang menjadi tonggak utama dalam rekayasa blog ini.... dan cikgu Ruzi yang berjaya 'meracuni' minda hamba fakir yang pacal ini untuk menjunjung blog di atas kepala jemala batu patik untuk menjadi 'ahli fikir' berwadahkan blog ini... oklah dah penat jumpa esok....Hamba minta diri dulu....untuk terbang ke negeri Antah Berantah untuk menghadap Sultan Syah Alam.. Sang Sapurba Taramberi Teri Buana...Raja Segala alam....