Isnin, 16 Ogos 2010

kegagalan yang terpaksa gagal....

Kegagalan yang terpaksa gagal kepada….. ABRAHAM LINCOLN

Abraham Lincoln ialah insan yang dilahirkan oleh ‘ibu’ kemiskinan, didodoi dengan irama lagu penderitaan yang pilu, dan bertatih di atas hamparan kemelaratan yang tegar.Kediamannya, sebuah pondok usang di pinggir pekan Kentucky,( pada tahun 1809),ayahnya mengukir nafkah keluarga dengan menjadi pemotong kayu dan ibunya hanya penyubur sifat merdesa serta kasih sayang. Dalam kepincangan inilah, Abraham, cuba mencari kesyumulan,dalam kesempitan hidup ini dia cuba mencari keluasan alam sarwajagat, dalam kebobrokkan dunia sekeliling dia cuba mencari “ kiblat” pedoman untuk hidup sebagai manusia yang bebas merdeka daripada penjara kemunduran.

Kemelut hidup, memaksa beliau untuk mencari dan melakukan anjakan paradigma.Pencarian tulus ini, telah menzahirkan jalan yang boleh membawanya ke mercu kejayaan.Ya, ilmu pendidikan.Ilmu pendidikan..Dia pasrah kepada ilmu pendidikan, dia sujud kepada buku yang menjadi wahana ilmu, dia mula mengisikan jiwa dan minda dengan ilmu pengetahuan…fatanah dan fikrahnya disuburkan dengan ilmu semata-mata..Dia bukan merangkak lambat seperti seekor siput babi untuk mencari buku…Dia berlari pantas ibarat seekor kuda liar, sehingga 20 batu untuk mendapatkan buku….mengemis buku yang ada daripada rakan-rakan yang tahu akan kemaslahatan ilmu sebagai kunci kemerdekaaan minda manusia. Keghairahan menghayati ilmu secara tuntas telah menjadikan beliau seorang cendekiawan tersohor.Balasan kepada orang yang menjadi hamba ilmu ialah, dia sendiri akan menjadi tuan kepada ilmu itu…inilah hukum alam yang telah menjadi kenyataan dalam kehidupan Abraham.. kerana ilmu cendekia terjana……… kerjaya Peguam Undang-undang mampu dijulang di sanggar buana.

Namun, kejayaan dirinya langsung tidak menjadika beliau manusia yang puas. Kini ,walaupaun berada di puncak angkasa, cakerawala pemikirannya masih berpasak pada erti kemiskinan, manusia dan kemanusiaan. Beliau telah melihat ke bawah sekali lagi bagaimana beliau sendiri telah di besarkan oleh dunia penderitaan itu. Beliau mahu menjadi pembela golongan pinggiran dan marhaen.Beliau telah melihat sendiri penderitaan segolongan manusia yang berlainan warna kulit. Kaum Negro yang dibawa dari Afrika Selatan..menjadi hamba abdi yang setaraf binatang di Amerika Syarikat.Orang Putih ( kaum kerabatnya ) telah menjadikan orang-orang Negro hamba abdi yang tiada maruah.Pada masa inilah tercetus dalam minda Abraham bahawa dia tidak boleh terus menjadi orang biasa…dia perlu membuat pilihan…menjadi lebih baik atau terus mati. Ilmu yang dimiliknya perlu digunakan untuk kebaikan manusia sejagat, bukan untuk diri dan keluarga semata-mata…suara kemanusiaan sejagat telah menjadi suara hatinya untuk terus berjuang memerdekakan golongan hamba abdi di bumi Amerika…

Kekuatan swadaya dan ilmu yang dimiliki telah digunakan untuk membebaskan golongan Kulit Hitam daripada perhambaan lantas, membersihkan nama Amerika- daripada negara yang tidak memiliki perikemanusiaan, kepada negara yang memperjuangkan Hak Kemanusiaan Sejagat sehingga kini. Setelah megharungi “kegagalan bersiri” (gagal dalam perniagaan – 1831,gagal menjadi ahli badan perundangan- 1932, gagal dalam perniagaan- 1833,gangguan urat saraf- 1836, gagal menjadi Speaker Dewan -1838, gagal dalam pilihan raya- 1840, gagal menjadi pemimpin Parti Kongres -1843, gagal merebut kerusi Parti kongres- 1848, dipecat menjadi senator -1855, gagal menjadi timbalan Presiden- 1856,gagal menjadi senator -1858), akhirnya pada tahun 1860 dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke -16, setelah beliau menggembleng upaya untuk menggagalkan “kegagalan” itu sendiri.

Terserlah jelas,kegagalan yang dikatakan mempunyai kuasa …sebenarnya telah ditumpaskan oleh manusia yang berjiwa kental ini.Beliau juga mentafsirkan kerajaan Demokrasi Amerika dengan kata-kata ‘ kerajaan dari rakyat,oleh rakyat dan untuk rakyat.Beliaulah yang mencanangkan, bahawa rakyat merupakan “raja” dalam pemerintahan Demokrasi. Personaliti unggul ini telah mencipta hidupnya dalam alam semesta yang tersendiri.Citra diri dan sejarah manusia agung ini akan hidup sebagai jurubicara kemanusiaan sejagat, kekal terpahat dalam benak pemikiran orang-orang yang mahu menanjak keterampilan diri,nusa dan bangsa.Sesungguhnya Abraham Lincoln,teratai yang pernah hidup cantik di kolam yang berlumpur.

Tiada ulasan: